SUKANKINI

Selangor kongsi mata dengan Felda

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 FEB: Selangor mencatat keputusan seri 1-1 menentang Felda United dalam aksi pertama kempen Liga Super musim ini di Stadium Shah Alam, di sini, malam tadi.

Dalam aksi berkenaan, skuad The Red Giants terlebih dahulu meledak gawang Felda United pada minit ke-41 menerusi jaringan pemain import kelahiran England, Antonio German.

Separuh masa pertama menyaksikan Selangor beberapa kali bertindak cemerlang dengan mengatur asakan awal menerusi hantaran lintang Azreen Zulkafali pada minit ke-11 namun dihalang pemain pertahanan lawan.

Pada minit ke-21, Amri Yahyah membuat cubaan di luar kotak penalti, malangnya melepasi tiang gol Felda United.

Berselang seminit kemudian, Rufino Segovia hampir menceriakan penyokong Selangor tetapi cubaan beliau pada minit ke-22 turut melewati tiang gol.

Bersambung separuh masa kedua, skuad kendalian B Sathianathan terus melancarkan serangan dengan beberapa percubaan bagaimanapun percubaan itu tidak mencabar penjaga gol Felda United, Norazlan Razali.

Red Giants mendapat peluang terbaik untuk menggandakan jaringan pada minit ke-64, namun percubaan Rufino Segovia di dalam kotak penalti sedikit tersasar di penjuru kanan pintu gol Felda United.

Tidak berputus asa, The Fighter memecah kebuntuan dengan gol pada minit ke-69 melalui cubaan ‘near post’ kapten pasukan, Hadin Azman.

Tersentak jaringan itu, Selangor berusaha mencari gol kedua namun beberapa percubaan bahaya Nurridzuan Abu Hassan dan Faiz Nasir, pada minit ke-71 dan 79 berjaya diselamatkan Norazlan.

Meskipun empat minit masa tambahan diberikan pengadil, kedudukan 1-1 itu kekal hingga ke wisel penamat.

FOTO: FA SELANGOR

 


Pengarang :