SUKANKINI

Selangor mahu kukuh pencapaian atlet wanita

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA KINABALU, 23 FEB: Kemampuan Sabah mengekalkan penguasaan dalam sukan ragbi dan sepak takraw wanita mencuri perhatian EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata, kejayaan atlet wanita Sabah itu memberi inspirasi kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor untuk memperkukuhkan cabaran pasukan wanita negeri, di peringkat kebangsaan.

“Kita nak menimba pengalaman, belajar bagaimana Sabah memajukan belia dan sukan kerana Sabah terkenal dengan pencapaian sukan wanita seperti ragbi serta sepak takraw.

“Saya yakin pencapaian sukan kategori wanita, di Selangor mampu ditingkatkan jika dirancang dengan betul,” katanya ketika mengetuai delegasi lawatan kerja ke Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

Selain pembangunan sukan wanita, delegasi Selangor turut diberi taklimat berhubung Kompleks Sukan Ranau (KSR).

Mohd Khairuddin berkata, KSR adalah kompleks sukan serba lengkap dan sering dijadikan pusat latihan pasukan kebangsaan.

“Ketinggian kawasan daripada aras laut mampu membantu meningkatkan prestasi atlet.

“KSR juga diuruskan dengan baik, kita di Selangor sangat berminat nak belajar bagaimana mereka menyelenggara pusat sukan yang baik, sebab itu kita bertemu kementerian untuk mendengar taklimat daripada mereka sendiri,” katanya.


Pengarang :