SUKANKINI

Selangor, Sabah kongsi misi dan visi majukan sukan negara

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA KINABALU, 22 FEB: Hubungan dua hala Selangor dan Sabah diperkukuhkan menerusi lawatan kerja EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman ke Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, Datuk Poon Ming Fung @ Frankie berkata, lawatan kerja itu mampu menjadi medan perkongsian maklumat antara kedua-dua MSN dalam mencapai misi serta visi sukan negara.

“Saya turut mengalu-alukan kehadiran delegasi Selangor untuk berkunjung ke Kompleks Sukan Sandakan pada masa akan datang kerana banyak program sukan dan pusat latihan di bawah MSN Sabah dapat dikongsikan antaranya Pusat Latihan Sukan Renang, memanah, olahraga, gimnastik, tinju, silat, wushu dan banyak lagi.
“Sekiranya ada kesempatan dan keadaan mengizinkan, mungkin selepas ini, MSN Sabah pula berpeluang berkunjung ke MSN Selangor,” katanya.

Ming Fung berkata demikian dalam ucapan aluannya ketika menyambut delegasi lawatan kerja Mohd Khairuddin bersama pegawai EXCO, MSN Selangor dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, hari ini.

Ketika mengulas lawatan MSN Selangor dan UPEN Selangor ke Kompleks Sukan Ranau (KSR) Selasa lalu, Ming Fung berkata, kompleks terbabit adalah kompleks sukan terbaik negara.

“Selain berfungi sebagai pusat latihan atlet, kompleks itu turut menjadi tumpuan aktiviti paragliding dan sukan lasak bertaraf antarabangsa dari China, Korea, Thailand, Jepun dan Eropah.

“KSR juga menyediakan kemudahan penginapan bertaraf dua bintang dengan mempunyai 36 bilik dan 122 katil,” katanya.

Ming Fung turut mengucapkan tahniah atas kejayaan anak muda Selangor menawan puncak tertinggi Asia Tenggara itu dalam Eksplorasi Puncak Kinabalu pada 19 hingga 21 Febuari lalu.

Pada lawatan berlangsung selama dua jam itu, delegasi Selangor turut diberikan taklimat berkaitan isu pembangunan belia dan sukan di Sabah.


Pengarang :