SELANGOR

Selangor sasar kekal destinasi pelaburan Asia – Chang Kim

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 17 FEB: Kerajaan Negeri berharap Selangor akan terus menjadi destinasi pelaburan dalam usaha memastikan rakyat dapat menikmati taraf hidup dan ekonomi lebih baik.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Dato’ Teng Chang Kim berkata, kemajuan dan pencapaian Selangor terus berkembang di bawah kempimpinan Kerajaan Negeri yang diketuai Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di samping sokongan padu rakyat.

“Selangor terus menjadi destinasi pelaburan pilihan pertama sehingga September 2018 dari segi jumlah projek diluluskan berbanding negeri-negeri lain.

“Pelaburan daripada dalam dan luar negara juga terus berkembang dengan kadar yang pesat.

“Selangor kini mempunyai beberapa kilang produksi terbesar dan moden di dunia bagi beberapa jenama terkemuka dalam bidang pembuatan elektronik dan elektrikal, kenderaan serta pesawat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor 2019, di Dataran Petaling Jaya, semalam.

Chang Kim berkata, Selangor juga semakin menarik dan menjadi pilihan untuk dijadikan pusat logistik serantau di Asia Pasifik.

“Saya yakin, usaha gigih dengan pemuafakatan erat serta semangat kerjasama kukuh akan menjadikan Selangor lebih sejahtera, aman dan makmur dalam mendepani semua cabaran ekonomi.

“Marilah kita bersama-sama menjadikan 2019 sebagai tahun membina kejayaan dan berharap ekonomi Selangor dan Malaysia bertambah baik,” katanya.

 


Pengarang :