SELANGOR

Selangor wujud 9,196 peluang pekerjaan pada 2018

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 FEB: Selangor berjaya mewujudkan sebanyak 9,196 peluang pekerjaan bermula Januari hingga September tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peluang pekerjaan itu wujud berikutan kejayaan Kerajaan Negeri menarik pelaburan terbesar membabitkan sektor peralatan pengangkutan, pembuatan makanan dan industri kimia.

Katanya, ia membabitkan pelabur utama termasuk dari Jepun, China dan Singapura dengan jumlah pelaburan diluluskan berjumlah RM8.3 bilion serta 143 projek.

“Prestasi pelaburan yang memberangsangkan ke negeri ini pada waktu ekonomi global tidak menentu adalah bukti keyakinan pelabur dalam dan luar negara terhadap polisi ‘business friendly’ yang diamalkan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika kunjungan hormat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking kepada Dato’ Menteri Besar di Bangunan SUK, hari ini.

Amirudin berkata, pertemuan terbabit menunjukkan komitmen Kerajaan Pusat untuk mengukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri ke arah membangunkan persekitaran pelaburan, perdagangan dan perniagaan yang lebih kondusif.

“Pada pertemuan ini kami turut membincangkan isu penting termasuk usaha untuk meningkatkan pelaburan asing, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana, latihan pekerja tempatan, usaha pemantapan pegurusan pekerja asing dan peningkatan produktiviti.

“Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor akan terus melaksanakan aktiviti serta polisi mesra pelabur di samping berusaha untuk menarik pelaburan ke negeri ini termasuk melalui Selangor Business Summit 2019,” katanya.


Pengarang :