SELANGOR

Semarak Srikandi KEADILAN pupuk minat wanita muda

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 10 FEB: Program Semarak Srikandi yang digerakkan Srikandi KEADILAN menjadi wahana penting dalam usaha memupuk minat wanita muda melalui aktiviti kemasyarakatan.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, Amirudin Shari berkata, beliau menyokong penuh program berkenaan dan sentiasa berpegang kepada falsafah utama sebagai pemimpin iaitu ‘bekerja untuk rakyat, berkhidmat kepada negara’.

“Sejarah mencatatkan pemimpin wanita ternama di dunia seperti Benazir Bhutto, Margaret Thatcher, Corazon Aquino bermula sebagai aktivis politik.

“Minat mereka terhadap bidang politik bermula dengan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Hi Tea Pimpinan KEADILAN Bersama Srikandi KEADILAN, di Hotel Empire, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Dr Daroyah Alwi; Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Elizabeth Wong.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri mementingkan budaya kesukarelawanan dan kemasyarakatan dalam memacu pembangunan di Selangor khususnya.

Katanya, sebagai negeri termaju di Malaysia, pembangunan tidak seharusnya dilihat dalam bentuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pelaburan sahaja, tetapi harus seiring dengan pembangunan sahsiah, rohani serta manusiawi.

“Dalam belanjawan baru-baru ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta bagi memberdaya golongan belia ke arah mewujudkan sebagai ‘A Volunteerism State’.

“Kumpulan Team Selangor dan Q Skuad sentiasa diberi sokongan dalam memainkan peranan penting memberdaya aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap program Semarak Srikandi bakal mencetus fenomena dalam kalangan wanita muda, sekali gus memperluaskan budaya turun padang.

Katanya, program terbabit harus menjadi wadah dalam melahirkan pemimpin yang peduli rakyat dan proaktif dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat.


Pengarang :