SELANGOR

Semenyih pesat membangun di bawah PAKATAN – Azmin

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEMENYIH, 25 FEB: Terletak di pinggir bandar bukanlah alasan buat Kerajaan Negeri untuk mengabaikan Semenyih, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, sebaliknya sumber kekayaan ekonomi Selangor tetap disalurkan kepada segenap negeri itu tanpa mengira kampung mahupun bandar.

“Ketika mula mentadbir Selangor pada 2008 pada waktu itu kita bukan hanya mahu majukan bandar besar seperti Subang sahaja, sebaliknya tetap membela masyarakat di Semenyih dan membuat perubahan dengan pembangunan kemajuan di sini.

“Ini kerana orang kampung juga berhak mendapat pembelaan dan jika dilihat pada hari ini, Gombak pun tidak semaju seperti Semenyih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Rapat Rakyat Semenyih bertempat di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi BERSATU Selangor, Dato’ Abdul Rashid Asari.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga mantan Dato’ Menteri Besar berkata, kemajuan yang semakin pesat dikecapi Semenyih turut mengejutkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, perkara terbabit turut diperkatakan Dr Mahathir ketika mesyuarat bersama ahli kabinet di Putrajaya.

“Oleh sebab itu selepas kita mengambil alih Selangor daripada Barisan Nasional, cukup dalam tempoh empat tahun Selangor sudahpun kaya walaupun pada ketika itu saya ‘diserang’ setiap malam.

“Puan yang datang minggu ini kononnya naik teksi dan motor tetapi ketika orang Semenyih susah dulu, mereka lupa sehingga naik jet peribadi.

“Saya yakin penduduk Semenyih akan membuat pilihan tepat dengan mengundi Calon Pakatan harapam, Muhammad Aiman Zainali bagi pilihan raya kecil kali ini,” katanya.


Pengarang :