SELANGOR

Sentimen perkauman dicetus ketika musim pilihan raya

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEMENYIH, 25 FEB: Sentimen perkauman seringkali digunakan pihak tidak bertanggungjawab ketika tibanya musim pilihan raya.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu berkata, tambah menyedihkan apabila isu terbabit makin kritikal apabila pihak berkenaan menggunakan pelbagai cara dianggap tidak masuk akal.

“Lihat saja isu patung berhala yang tiba-tiba ditemui dalam sebuah surau, sebelum ini tidak pernah berlaku sebarang perkara sedemikian tetapi apabila tiba sahaja pilihan raya, muncul isu sedemikian.

“Dapat dirumuskan isu sebegini sengaja dicipta bagi menimbulkan kebencian orang ramai sehingga mengorbankan keharmonian kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Rapat Rakyat Semenyih di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, di sini, malam tadi.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi BERSATU Selangor, Dato’ Abdul Rashid Asari.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, penduduk Semenyih perlu mengundi Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih, 2 Mac ini bagi membolehkan permasalahan setempat diselesaikan dengan lebih baik.

“Oleh itu undilah calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali untuk meneruskan kecemerlangan ini,” katanya.


Pengarang :