NASIONAL

Serantau Muslim desak PBB siasat bom napalm, Syria menderita

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 FEB: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyiasat penggunaan bom napalm yang menjadi punca kanak-kanak dan orang awam Syria menderita.

Pengerusinya, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, bom napalm adalah campuran daripada agen gel dan petroleum sehingga boleh menyebabkan kebakaran yang parah apabila melekat pada kulit manusia.

Katanya, penggunaan bom napalm itu jelas melanggar tatacara etika penggunaannya dan salah daripada sudut konsumernya.

“Kami melahirkan rasa sedih dan empati terhadap nasib kanak-kanak serta orang awam di Syria kerana dibom tentera rejim Israel tanpa belas kasihan.

“Serantau Muslim merasakan tindakan sebegini harus diambil perhatian pihak dunia dan wajar menghukum tentera yang melancarkan serangan terbabit kerana ia jelas melanggar hak asasi manusia sejagat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, katanya, Serantau Muslim mengutuk keras tindakan pembekal bom itu kerana ia termasuk dalam kategori 10 senjata paling dahsyat di dunia dan tidak sepatutnya diguna terhadap kanak-kanak juga orang awam.

Terdahulu, tentera Israel membunuh 11 tentera rejim Syria termasuk dua orang awam dan turut mensasarkan beberapa kemudahan tentera di Iran sehinggakan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) menyatakan ia serangan paling dahsyat dilancarkan tentera Israel ke atas Syria sejak Mei tahun lalu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi membantu penduduk Syria, boleh menyumbang melalui akaun Maybank 5641 0042 3082 (Tabung Kemanusiaan Syria Serantau Muslim).


Pengarang :