Selangorkini
NASIONAL

Setiausaha Agung BN akan disiasat di bawah Akta Hasutan

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataannya dalam satu ceramah politik di Semenyih, Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, satu laporan polis telah diterima setakat semalam berhubung kes itu.

“Siasatan berhubung kes terbabit sedang dilakukan dan kita akan turut memanggil beberapa individu untuk dirakamkan keterangan mereka.

“Sebaik dilengkapkan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya secepat mungkin bagi tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis peringatan ulang tahun Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ke-63 di sini, hari ini.

Katanya, kes terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Semalam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengecam kenyataan Mohamed Nazri dalam satu ceramah di Semenyih, yang dianggapnya bertujuan mencetuskan kebencian perkauman dan perasaan tidak puas hati bagi tujuan memenangi Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih.

Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail dilaporkan berkata demikian berhubung kenyataan yang dibuat oleh Mohamed Nazri berkaitan pelantikan Ketua Hakim, Peguam Negara dan Menteri Kewangan dalam kalangan bukan kaum Melayu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :