Sebahagian pempamer yang mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2017 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2017. Foto ARKIB SELANGORKINI
SELANGOR

SIBS 2019 bakal berlangsung 10 hingga 13 Oktober

OLEH HAFIFA AWANG

SHAH ALAM, 27 FEB: Invest Selangor Berhad bakal menganjurkan Selangor International Business Summit (SIBS) edisi ketiga, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), pada 10 hingga 13 Oktober ini.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, SIBS menjadi penghubung antara perdagangan tempatan dan antarabangsa, bagi merancakkan lagi aktiviti perdagangan serta perkongsian inovasi.

“Ia bertujuan memberi pendedahan terhadap pelbagai produk dan perkhidmatan antarabangsa, dengan lebih 700 kiosk daripada pelbagai negara akan menyertainya.

“Persidangan ini dijangka mampu meningkatkan lagi peluang perniagaan dan pelaburan serantau, menjadikan Selangor sebagai hab perdagangan antarabangsa” katanya.

SIBS 2019 yang berlangsung selama empat hari merangkumi empat program utama, iaitu Selangor International Expo dan Selangor R&D and Innovation Expo, pada 10 hingga 13 Oktober ini.

Selangor-ASEAN Business Conference pula diadakan pada 10 dan 11 Oktober, manakala Selangor Smart City and Digital Economy Convention pada 11 hingga 13 Oktober.

Pada kali ini, Selangor International Expo akan mengetengahkan Malaysia International Tea & Coffee Expo yang dianjurkan bersama Tea Trade Association of Malaysia bagi mempromosikan kopi dan teh, di peringkat tempatan serta global.

Ia dijangka menerima kunjungan melebihi 30,000 pelawat, sepanjang empat hari persidangan itu berlangsung.


Pengarang :