PBTSELANGOR

Sistem Lalulintas 3 Fasa MPSJ berkuat kuasa 6 April

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 27 FEB: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan melaksanakan Sistem Lalulintas 3 Fasa di Persimpangan Berlampu Isyarat Jalan Putra Permai-Persiaran Lestari Perdana, berkuat kuasa pada 6 April ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohammad Zulkarnain Che Ali berkata, pelaksanaan sistem dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lingkaran Trans Kota Holding Berhad (LITRAK) itu bertujuan melancarkan pengurusan lalu lintas di kawasan terbabit.

Katanya, tempoh percubaan sistem berkenaan akan diadakan selama tiga bulan melalui pemantauan pihak berkuasa tempatan itu bersama JKR, Polis Diraja Malaysia dan LITRAK.

“Sistem pengurusan lalu lintas ini akan membabitkan penutupan Jalan Prima Tropika menghala keluar ke Jalan Putra Permai.

“Pengguna lalu lintas dari kawasan The Atmosphere, Taman Prima Tropika, Taman Alam Putra dan Taman Lestari Permai diminta mematuhi papan tanda arah laluan alternatif yang disediakan bagi melancarkan perjalanan serta menggunakan laluan alternatif disediakan.

“Laluan alternatif ke Seri Kembangan melalui (Persiaran Permai Sentosa, Persiaran Putra Permai Utama, Persiaran Putra Permai Selesa & Persiaran Pinggiran Putra), manakala ke Puchong/Putrajaya melalui (Jalan Atmosphere Utama 2) dan ke Lestari Perdana melalui (Persiaran Putra Permai Utama & Persiaran Putra Permai Selesa),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil.2/2019, di Bilik Mesyuarat Kenanga Aras 2, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, MPSJ turut menyediakan notis atau papan tanda arah mencukupi di beberapa lokasi di kawasan terbabit bagi memudahkan pemandu menuju ke destinasi masing-masing, bermula 1 Mac ini.

“Kita menjangkakan akan timbul sedikit kekeliruan dan kesulitan dalam kalangan pengguna jalan raya di awal pelaksanaan ini.

“Bagaimanapun, notis selama sebulan ini akan dimaklumkan kepada penduduk bahawa jalan ini akan bertukar ke arah lain,” katanya.


Pengarang :