NASIONAL

Sistem tempahan AirAsia dinaik taraf

KUALA LUMPUR, 11 FEB: AirAsia akan menaik taraf sistem tempahannya, Navitaire New Skies pada hujung minggu ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk memberikan pengalaman dalam talian yang dipertingkatkan kepada pelanggan.

“Tempahan penerbangan tidak akan dapat dilakukan dalam tempoh ini dari 2 petang (GMT +8) pada 16 Februari hingga 3 pagi pada 17 Februari di airasia.com, aplikasi mudah alih AirAsia, pejabat jualan, kaunter dan pusat panggilan AirAsia.

“Pelanggan juga tidak akan dapat melakukan daftar masuk sendiri melalui web, aplikasi mudah alih dan kiosk lapangan terbang atau menguruskan tempahan mereka sehingga kerja-kerja menaik taraf itu selesai,” menurut syarikat penerbangan itu dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

AirAsia menasihatkan pelanggan yang mempunyai penerbangan dalam tempoh itu untuk mendaftar masuk secara dalam talian sebelum tempoh menaik taraf itu dan mencetak pas masuk mereka, atau menggunakan E-Boarding pass, jika ada.

Katanya, daftar masuk melalui web dan mudah alih boleh didapati dari 14 hari sebelum berlepas bagi semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X.

“Pelanggan turut digalakkan untuk berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum penerbangan mereka untuk mengelak sebarang kesulitan,” katanya.


Pengarang :