NASIONAL

SJPP lancar jaminan khas RM2 bilion untuk PKS

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) hari ini melancarkan skim jaminan khas kerajaan RM2 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasuki Industri 4.0.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada jaminan berjumlah RM6.5 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2019 khusus untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan PKS tempatan bagi Industri 4.0.

Beliau berkata, tanpa PKS yang berpengetahuan dalam teknologi Industri 4.0, Malaysia tidak akan dapat berkembang maju dan tidak akan menjadi destinasi pelaburan utama bagi pembuatan berteknologi tinggi serta perkhidmatan tambah nilai tinggi.

“Skim jaminan RM2 bilion disediakan SJPP dengan mengambil kira PKS menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Nalam Negara Kasar Malaysia tahun lalu.

“Sumbangan itu dijangka meningkat kepada 41 peratus pada 2020,” katanya ketika berucap pada pelancaran skim itu hari ini.

Di bawah skim itu, 70 peratus pinjaman dibuat PKS akan dijamin oleh SJPP.

Sejak ditubuhkan pada 2009, SJPP sudah menawarkan jaminan RM35 bilion dengan RM18 bilion daripadanya dimanfaatkan 14,000 PKS, di seluruh negara.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :