NASIONAL

Skim pinjaman bantu usahawan kraf dan inap desa

KOTA BHARU, 3 FEB: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyediakan Skim Pinjaman Kraftangan dan Inap Desa yang memperuntukkan pinjaman berjumlah RM500 juta bagi menyokong industri kraftangan dan inap desa tahun ini.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, peruntukan itu adalah inisiatif kerajaan ke arah memperkasa perusahaan sedia ada sekali gus membantu melonjakkan pendapatan usahawan kraf.

“Peruntukan ini telah dibuka bermula awal tahun ini dan terbuka kepada semua ushawan kraf termasuk pengusaha batik dan songket selain pengusaha inap desa seluruh negara.

“Kerajaan juga akan membantu meringankan beban usahawan dengan memberi subsidi sebanyak dua peratus bagi mengurangkan faedah pinjaman tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Festival Kraf Tekstil Pantai Timur di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Saraya Arbi serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Festival yang berlangsung di Dataran Rehal bermula 31 Januari hingga 9 Februari itu diadakan bagi memperkasa dan mempromosikan produk kraf tekstil termasuk batik, songket, tenun Pahang Diraja keluaran komuniti kraf daripada Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Seramai 56 usahawan kraf menyertai fertival terbabit yang mengetengahkan pelbagai aktiviti termasuk jualan kraf, demonstrasi dan interaktif kraf selain pameran evolusi batik.

Mohamaddin berkata, selain mewujudkan kesedaran dan memberi maklumat terkini kepada masyarakat, festival berkenaan juga menjadi platform terbaik bagi mengukuhkan kerjasama dan rantaian pemasaran dalam kalangan usahawan kraf tekstil Pantai Timur di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Kementerian akan terus menyokong usaha dan kesungguhan usahawan kraf dalam menghasilkan produk kraf tekstil yang bermutu dan berkualiti,” katanya.

Sementara itu, katanya, seramai 97 usahawan menerima Sijil Pematuhan Standard yang dikeluarkan Kraftangan Malaysia membolehkan mereka diberi keutamaan menyertai program promosi anjuran jabatan itu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :