GLOBALSUKANKINI

Solskjaer terus yakin

MANCHESTER, 10 FEB: Kemenangan Manchester United ke atas Fulham terus memberi keyakinan kepada Ole Gunnar Solskjaer bahawa anak buahnya mampu meneruskan cabaran dengan jaya pada baki aksi Liga Perdana Inggeris.

Kejayaan 3-0 dicatat mengatasi pasukan dibimbing Claudio Ranieri di Craven Cottage, malam tadi meletakkan The Red Devils di tangga keempat liga dengan 51 mata dan mencerahkan peluang layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Begitupun, kedudukan itu bakal berubah andai Chelsea menewaskan Manchester City, esok.

Setakat ini, United dikendali Solskjaer selaku pengurus sementara meneruskan rentak cemerlang dalam sembilan perlawanan Liga Perdana Inggeris tanpa kekalahan.

“Pemain mempamerkan kualiti hebat. Saya menyokong United bertahun-tahun dan sebagai peminat, anda menempuh setiap perlawanan dengan memikirkan kemenangan.

“Ia berjalan lancar dan saya kira pemain juga merasakan yang sama. Kami mahu terus maju dan berusaha untuk bertahan di tempat keempat,” katanya, lapor BBC.

United memperoleh kemenangan itu menerusi dua gol jaringan Paul Pogba dan Anthony Martial (satu).

Kejayaan terbabit turut meningkat keyakinan United untuk berdepan cabaran Paris Saint Germain pada saingan pertama peringkat 16 pasukan Liga Juara-Juara di Old Trafford, Rabu ini.

 


Pengarang :