SELANGOR

SPR jangka 70% keluar mengundi

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 16 FEB: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Bagi memudahkan urusan proses mengundi, SPR turut menambah 31 saluran baharu menjadikan 119 saluran di pusat mengundi sekali gus mencatatkan bilangan pengundi tinggi.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, penambahbaikan petak undi di saluran mengundi turut dilaksanakan iaitu sejumlah tiga berbanding dua sebelum ini.

“Pengundi Orang Kelainan Upaya (OKU) akan mengundi di saluran satu. Seramai 741 pengundi OKU ini dikenal pasti dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya selepas penamaan calon PRK DUN Semenyih, hari ini.

Pada masa sama, katanya, SPR akan menghantar sejumlah 54,471 kad pengundi bagi PRK DUN Semenyih bagi memudahkan pengundi berdaftar menyemak segala maklumat.

Katanya, kad itu mengandungi maklumat penting seperti pusat mengundi, saluran, bilangan dan masa mengundi.

Sementara itu, Azhar optimis semua parti politik bertanding mematuhi peraturan dan undang-undang pilihan raya dengan tidak melakukan kesalahan seperti terkandung dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

 


Pengarang :