SUKANKINI

SPRM singkap skandal jual perlawanan 1994 sebagai pedoman

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 FEB: Pemain pasukan UiTM FC Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia diingatkan supaya tidak terjebak dengan sindiket mengatur perlawanan bola sepak seperti yang berlaku, pada 1994.

Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Ahmad Nuri Muda berkata, aktiviti tidak bermoral terbabit memberi kesan mendalam kepada individu terbabit dan sukan bola sepak negara, pada ketika itu.

“Pemain UiTM yang ada pada hari ini bertuah kerana berpeluang bermain dalam liga sedangkan ramai lagi pemain yang berbakat hanya mampu bermain di peringkat lebih rendah.

“Jangan lepaskan peluang ini dengan terbabit rasuah kerana pemain mempunyai masa depan cerah jika bermain dengan bersungguh-sungguh.

“Jika terbabit rasuah, masa depan akan gelap seperti dialami individu terbabit dalam skandal rasuah bola sepak negara, pada 1994,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah dan Ikrar Bebas Rasuah membabitkan pemain serta anggota pengurusan UiTM FC, di Dewan Kompleks Sukan UiTM di sini, semalam.

Ahmad Nuri berkata, dalam skandal menggemparkan negara itu, lebih 100 pemain dan jurulatih disyaki mengatur keputusan perlawanan dengan 58 pemain digantung daripada terbabit dalam bola sepak selama beberapa tahun sehingga seumur hidup.

Katanya, antara hukuman dikenakan pada masa itu membabitkan seramai 21 pemain dan jurulatih dipecat serta ramai dikenakan hukuman buang daerah.

“Skandal itu turut memberi kesan kepada ranking pasukan bola sepak kebangsaan yang jatuh dengan teruk, malah Liga Bola Sepak Malaysia turut dipandang rendah oleh peminat dan pemerhati bola sepak dalam serta luar negara,” katanya.


Pengarang :