SELANGOR

SRA Kampung Batu 3 terima bangunan baru

OLEH SHEEDA FATHIL

SEMENYIH, 16 FEB: Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Batu 3, di sini terima bangunan baru selepas bangunan lama bakal dirobohkan bagi pembinaan projek oleh UEM Sunrise Berhad.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bangunan baru dengan tapak seluas 2.3 ekar itu menelan kos RM8.5 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh UEM Sunrise Berhad.

“Bangunan ini sudah siap sepenuhnya dengan dilengkapi 12 bilik darjah, bilik guru, bilik mesyuarat, bilik audio dan padang bola yang ternyata memberi lebih keselesaan kepada guru serta pelajar.

“Kapasiti bangunan ini mampu memuatkan sekitar 450 pelajar pada satu-satu masa lebih besar berbanding sebelum ini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Bangunan SRA Kampung Batu 3 oleh UEM Sunrise Berhad kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim di sini, semalam.

Turut diadakan penyampaian pampasan kepada sembilan tuan tanah yang terlibat dengan pengambil alihan tanah bagi jalan masuk ke SRA Kampung Batu 3.

Pada masa sama, Amirudin berkata, beliau menyambut baik insiatif UEM Sunrise Berhad dalam membangunkan projek sekitar kawasan terbabit kerana pertambahan penduduk akan berlaku ekoran 4,000 unit rumah akan dibina.

“Dengan pembangunan ini ia sedikit sebanyak memberi keselesaan dan kemudahan kepada penduduk sekitar selain keadaan sekolah yang lebih kondusif kepada pelajar juga guru,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SRA Kampung Batu 3, Jamaludin Sihab berkata, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan UEM Sunrise Berhad kerana menggantikan bangunan baru kepada sekolah terbabit.

“Ia amat berbaloi kerana sekolah ini sudah dibina sejak era 70an dan pada hari ini kita mendapat bangunan baru, saya mewakili wakil SRA Kampung Batu 3 mengucapkan ribuan terima kasih.

“Sehingga kini, bilangan pelajar seramai 192 manakala lapan guru dan ia mungkin akan bertambah memandangkan keadaan kini lebih luas berbanding sebelum ini,” katanya.


Pengarang :