Selangorkini
NASIONAL

Subsidi jemaah haji muassasah kali pertama kekal

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Lembaga Tabung Haji (TH) akan menanggung semua subsidi bagi jemaah haji muassasah kali pertama termasuk yang membuat rayuan untuk menunaikan haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, keputusan itu dicapai selepas beberapa perbincangan bersama Lembaga Pengarah TH.

“Keputusan Lembaga Pengarah TH ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk keupayaan dan kedudukan unjuran kewangan TH, bagi 2019.

“Justeru, dengan pengumuman terbaharu ini, kos tanggungan TH untuk musim haji tahun ini ialah sekitar RM400 juta,” katanya.

Katanya, sebelum ini pelbagai dakwaan mengelirukan timbul terutama berhubung isu kos jemaah yang membuat rayuan haji walaupun pada masa itu perkara ini belum dimuktamadkan.

Pada 14 Februari lalu, Mujahid mengumumkan bayaran untuk menunaikan haji bagi jemaah haji muassasah yang menunaikan haji kali pertama kekal RM9,980, dengan kerajaan menanggung subsidi RM12,920.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :