KUCHING, 24 Feb — Anggota polis membawa seorang suspek lelaki berusia 35 tahun ke Mahkamah Majistret hari ini bagi mendapatkan perintah reman berhubung kes penipuan pekerjaan melibatkan 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja baru-baru ini. Sehingga kini, seramai 23 orang terdiri daripada 18 lelaki dan lima wanita telah tampil membuat laporan polis berhubung kes tersebut. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Suspek tipu pekerjaan 47 rakyat Malaysia direman

KUCHING, 24 FEB: Seorang suspek terbabit dalam kes penipuan pekerjaan sehingga mengakibatkan penahanan 47 rakyat Malaysia, di Kemboja, baru-baru ini direman selama empat hari, mulai hari ini.

Permohonan reman ke atas lelaki tempatan berusia 35 tahun itu dibuat pegawai siasastan kes berkenaan, ASP Pricha Azin, di hadapan Pendaftar Mahkamah Kuching Dora Undau, di Mahkamah Majistret, di sini.

Permohonan perintah tahanan reman dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk melanjutkan siasatan terhadap lelaki yang berbaju kelabu semasa dibawa ke mahkamah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani berkata, suspek terbabit ditahan di rumahnya.

Beliau mengesahkan penangkapan suspek, di sini pada jam 3 petang.

Sehingga kini, 23 orang iaitu 18 lelaki dan lima wanita tampil membuat laporan polis berhubung kes berkenaan.

Baru baru ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, kertas siasatan dibuka berdasarkan Seksyen 26 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Kesemua 47 rakyat Malaysia yang dibebaskan dari penjara Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja itu tiba di tanah air, pada 17 Februari lalu.

Sejumlah 43 orang iaitu 40 dari Sarawak dan tiga dari Sabah diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, sementara empat lagi dari Semenanjung iaitu tiga dari Selangor dan seorang berasal dari Kuala Lumpur tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :