NASIONAL

Syed Saddiq: Semenyih berpotensi sebagai ‘bicycle tourism’

SEMENYIH, 10 FEB: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Semenyih berpotensi untuk dijadikan lokasi ‘bicycle tourism’ berikutan kemudahan trek yang baik di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, kementerian akan berbincang dengan kementerian berkaitan termasuk pihak berkepentingan serta mereka yang terbabit dalam sukan berbasikal bagi menaik taraf kemudahan riadah di kawasan itu.

“Kawasan ini memang banyak orang datang untuk berbasikal, saya akan berbincang termasuk bersama penggiat sukan berbasikal jika kita dapat bangunkan infrastruktur, ‘bicycle tourism’ berpotensi besar di sini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di sini, lapor BERNAMA.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, kemudahan sukan di kawasan terbabit seperti padang bola, gelanggang futsal dan sepak takraw akan dinaik taraf kerana terdapat atlet pelapis berpotensi yang sedang digilap dari DUN itu termasuk pemain hoki.

Menyentuh mengenai peluang Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Syed Saddiq yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) melahirkan keyakinan khidmat kepada rakyat akan mengekalkan penguasaan PAKATAN di kawasan itu.

“Paling mustahak apa yang (kita) nak lihat adalah PAKATAN akan terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Katanya, senarai calon daripada BERSATU telah diserahkan kepada Presiden parti serta Perdana Menteri dan Armada akan memberikan sokongan penuh kepada siapa sahaja yang terpilih.

Bagaimanapun, beliau berharap calon muda dipertimbangkan untuk menjadi calon PRK berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai program lawatan itu, Syed Saddiq berkata, ia tidak ada kena-mengena dengan PRK DUN terbabit yang akan diadakan 2 Mac ini.

Sebaliknya, katanya, program itu telah lama dirancang memandangkan beliau pernah melawat DUN itu sebelum pilihan raya umum lalu.

“Ia mengimbas kenangan. Saya sebak kerana kebetulan sebelum PRU saya telahpun datang ke sini.

“Program hari ini ialah bagi berinteraksi secara terus dan memberikan bantuan, pertolongan dan sokongan demi memperkasa pembangunan belia dan sukan, seterusnya menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat terutamanya dalam kalangan generasi muda dan penggiat sukan,” katanya.

Antara aktiviti dan pengisian sepanjang jelajah itu ialah kayuhan santai di sekitar kawasan Semenyih, program penyenggaraan motosikal di Beranang serta pertandingan masakan kampung di Ulu Semenyih.


Pengarang :