Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
NASIONAL

Syed Saddiq: Tarikh LTDL 2019 dalam perbincangan

SEMENYIH, 10 FEB: Tarikh penganjuran Le Tour de Langkawi 2019 (LTdL 2019) masih dalam perbincangan dengan pihak berkaitan, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, penetapan tarikh yang bersesuaian penting bagi memastikan acara terbabit mendapat liputan media secara meluas, sekali gus memulihkan status sukan berbasikal itu di persada dunia.

“Saya dimaklumkan bahawa perkara ini sedang dibincangkan dan ia perlu dapat kata putus daripada pihak penganjur, persatuan dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan).

“Kita nak pastikan bahawa rangkaian media dapat laporkan (LTdL 2019) sebaik mungkin. Ia juga supaya dapat memulihkan status LTdL dan mengembalikan zaman kegemilangannya,” katanya kepada pemberita selepas melawat di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Beliau diminta mengulas berkenaan cadangan pihak penganjur LTdL 2019, Human Voyage (M) Sdn Bhd untuk menunda tarikh penganjuran LTdL berikutan bertindih dengan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19) iaitu pada 26 hingga 30 Mac depan.

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq berkata, bahawa pelantikan pengerusi baharu Yayasan Kebajikan Atlit Kebangsaan (YAKEB) hanya akan ditentukan selepas perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk bekas atlet.

“Esok saya ada pertemuan dengan YAKEB. Ada beberapa cadangan (nama calon) disampaikan. Saya dan pihak terbabit akan memastikan pilih calon terbaik (untuk jawatan Presiden YAKEB) dan juga boleh turun padang serta menjaga kebajikan atlet secara menyeluruh,” katanya.


Pengarang :