SELANGOR

Tahun Baru Cina unik dalam masyarakat majmuk

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SELAYANG, 5 FEB: Kepelbagaian dan keharmonian hubungan yang wujud antara kaum dalam masyarakat majmuk menjadikan Sambutan Tahun Baru Cina di negara ini sangat unik dan istimewa.

Bagi Johnson Ong, 38, keunikannya jelas terpapar apabila perayaan masyarakat Tiong Hua itu turut disambut dan dirai oleh kaum lain yang mahu memeriahkan lagi festival tahunan berkenaan.

“Bukan hanya Tahun Baharu Cina, tetapi setiap perayaan yang terdapat di negara ini melambangkan keunikan tersendiri kerana ia melibatkan penyatuan semua kaum.

“Malah, festival ini melambangkan titik permulaan untuk kita buat perubahan dalam kehidupan ke arah menjadi individu lebih baik,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, Rane Chin, 35, mengakui gembira dan teruja kerana sambutan tahun baharu cina pada tahun ini lebih meriah dibandingkan tahun sebelumnya.

Katanya, selain dapat bersua muka dan berkumpul bersama keluarga, festival berkenaan memberi peluang kepada masyarakat daripada bangsa lain untuk menyambutnya.

“Tiada istilah sambutan tahun baharu cina hanya untuk kaum berbangsa cina sahaja, sebaliknya semua kaum boleh meraikan perayaan ini secara harmoni tanpa batasan.

“Saya harap Malaysia lebih aman damai melalui keakraban sesama bangsa dan agama seterusnya boleh membentuk negara yang lebih kuat selepas ini,” katanya.

 

 

 


Pengarang :