Selangorkini
NASIONAL

Tanjung Sepat catat 23 kes Chikungunya

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 FEB: Tanjung Sepat mencatatkan sebanyak 23 kes Chikungunya sekali gus menjadikan Selangor paling tinggi mencatatkan kes berkenaan.

Ia kemudiannya diikuti Melaka dengan sembilan kes, Kelantan (enam) sementara Perlis (satu).

Jumlah kes itu direkodkan bermula dari 29 Januari hingga 7 Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan telah mengambil maklum adanya kes Chikungunya di kalangan penduduk di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

“Gejala yang dialami adalah demam, sakit sendi dan ruam namun semua kes dirawat sebagai pesakit luar dan tiada kematian yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan telah menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan dengan sebanyak 1,740 rumah telah dibuat semburan kabus terutamanya di kawasan kejadian.

Didapati kawasan berkenaan mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi iaitu 3.8 peratus.

Kementerian Kesihatan menyeru semua masyarakat dan jawatankuasa penduduk untuk meningkatkan aktiviti pembersihan persekitaran bagi memusnahkan tempat pembiakan Aedes di tempat masing-masing.

Pembabitan masyarakat dalam memastikan persekitaran bersih dan bebas dari pembiakan Aedes akan dapat mencegah penularan penyakit Chikungunya, Denggi dan Zika.


Pengarang :