SELANGOR

Tawaran bonus lebih dua bulan beri motivasi penjawat awam

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 FEB: Ganjaran bonus lebih dua bulan gaji kepada penjawat awam yang berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) seperti ditetapkan Kerajaan Negeri mampu menjadi motivasi terbaik kepada golongan itu.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, langkah ini juga membuktikan kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sentiasa mengutamakan kebajikan kakitangannya.

“Ini menunjukkan Dato’ Menteri Besar sentiasa menjaga kebajikan kakitangan kerajaan dan memberi motivasi kepada mereka untuk mencapai KPI ditetapkan.

“Sebagai EXCO bertanggungjawab dalam Pembangunan Modal Insan, saya menyambut baik kenyataan Dato’ Menteri Besar untuk memberi ganjaran kepada penjawat awam berdasarkan kerja keras mereka,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor 2019 baru-baru ini, Amirudin berkata, penjawat awam Selangor bakal menikmati pembayaran bonus dua bulan gaji atau lebih jika berjaya mencapai KPI.

“Kita akan menilai daripada segi pencapaian KPI jabatan dan individu, namun pemberiannya juga adalah berdasarkan hasil pungutan negeri,” katanya.


Pengarang :