SELANGOR

Tengku Permaisuri berkenan tanam pokok bakau

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 23 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, berkenan menanam pokok bakau, di Taman Alam Kuala Selangor, sempena Karnival Alam Sekitar dan Hari Tanah Sedunia, hari ini.

Baginda turut mencemar duli dengan berjalan kaki sejauh hampir tiga kilometer bersama tetamu jemputan sebelum menanam pokok bakau dari spesies ‘Rhizophora Mucronata’ atau bakau kurap.

Turut hadir, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian; Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat; Presiden Persatuan Pecinta Alam Malaysia, Prof Dr Ahmad Ismail; Pengarah Eksekutif LBS Foundation, Dato’ Cynthia Lim Mooi Pang; Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Dato’ Mohamad Yaacob Dato’ Ismail dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MDKS dan LBS Foundation.

MoU selama tiga tahun itu bertujuan untuk merancang pembangunan semula kawasan perlindungan Kelip-kelip Kampung Kuantan, di samping memelihara ekosistem dan habitat serangga yang terdapat di sepanjang Sungai Selangor.

Sebanyak 1,300 batang pokok bakau kurap turut ditanam peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti awam serta swasta, di sekitar taman alam berkeluasan 261 hektar itu.


Pengarang :