Urusan penukaran status akaun kanak-kanak ke akaun dewasa perlu dibuat sebelum 1 Mei 2022
NASIONAL

TH belum muktamad pemohonan rayuan haji

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Lembaga Tabung Haji (TH) belum memuktamadkan atau mengeluarkan surat tawaran kepada semua pemohon rayuan haji yang berjaya.

TH dalam kenyataan hari ini berkata, sehingga kini pihaknya masih dalam proses penilaian setiap permohonan rayuan secara individu dengan mengambil kira semua kategori rayuan yang akan dinilai dengan terperinci.

“Sebarang keputusan bagi rayuan haji akan dipertimbangkan dengan berasaskan prinsip istito’ah (kemampuan).

“Surat tawaran akan dimaklumkan kepada pemohon rayuan haji yang berjaya sahaja dalam masa terdekat. TH berharap semua pihak bersabar menunggu keputusan rayuan masing-masing,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kos sebenar mengerjakan haji pada musim 1440 Hijrah/2019 Masihi ialah RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah.

Kos itu menurut TH, merangkumi bayaran harga tiket penerbangan carter pergi-balik, penginapan, pengangkutan, sajian makanan dan bayaran kepada pihak berkuasa Arab Saudi bagi tempoh lebih 40 hari jemaah berada di tanah suci.

“Ini belum mengambil kira perbelanjaan TH untuk menyediakan perkhidmatan secara percuma seperti pelbagai kursus haji di seluruh negara, urusan stesen berlepas dan ketibaan di tanah air, pemeriksaan kesihatan, bekalan ubat-ubatan, buku-buku bimbingan, pembimbing ibadat haji, kaunter kewangan, kaunseling dan petugas haji, perubatan serta peronda,” katanya.

Pada 14 Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengumumkan bayaran menunaikan haji bagi jemaah haji muassasah yang menunaikan haji kali pertama kekal RM9,980 dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM12,920.

Kos menunaikan haji tahun ini ialah sebanyak RM22,900 berbanding RM22,450 pada musim lalu.

– BERNAMA


Pengarang :