Lembaga Tabung Haji kaji keperluan penstrukturan bayaran haji bersasar mengikut tahap kemampuan dan pendapatan jemaah.
NASIONAL

TH kekal di bawah kawalan JPM

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 FEB: Lembaga Tabung Haji (TH) kekal di bawah kawalan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sekali gus menolak dakwaan bidang kuasa itu dipindahkan kepada Kementerian Kewangan.

Dalam kenyataannya, TH berkata, perkara itu tidak berubah dengan pengenalan Syarikat Tujuan Khas (SPV) seperti yang sudah dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet.

“Dakwaan dan tuduhan bahawa TH dipindahkan kepada Kementerian Kewangan adalah palsu dan tidak berasas sama sekali.

“TH juga diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM). BNM sebagai badan yang bebas dan di bawah pimpinan Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus mengawal selia semua bank dan institusi kewangan di dalam negara termasuk institusi kewangan Islam,” katanya.

Terdahulu, TH dilemparkan dakwaan berhubung isu berkaitan selepas keputusan Jemaah Menteri untuk memindahkan aset yang tidak menguntungkan kepada SPV milik kerajaan.

Kenyataan sama turut menyebut, pemindahan aset berkenaan adalah sebahagian daripada usaha mengembalikan keadaan kewangan TH kepada normal selain mempercepatkan proses pemulihan kewangan institusi terbabit selepas berlaku salah laku secara besar-besaran.

 


Pengarang :