SELANGOR

Tidak wajar ikut resolusi halalkan dadah

OLEH NORHAYATI UMOR

SERDANG, 23 FEB: Isu resolusi ‘halalkan’ penggunaan dadah secara meluas yang kini diterima di sesetengah negara tidak wajar diikuti Malaysia.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana penggunaannya melalui aktiviti yang tidak terkawal menyebabkan kesan memudaratkan, sekali gus menjadikan masa depan seseorang gelap.

“Di Thailand, antara perkara yang hangat didebat adalah perubatan ganja dalam perubatan, namun untuk dilaksanakan di Malaysia, isu ini harus diputuskan di peringkat kementerian.

“Namun, dalam perubatan, penggunaan dadah jenis morfin sering digunakan dan ia bukan isu baru, sebaliknya perlu dikawal serta tidak digunakan secara meluas kerana ia mempunyai kesan sampingan.

“Pada masa kini, dadah jenis syabu, ice, atau dadah ‘New Psychoactive Substance’ (NPS) mempunyai kesan ketagihan yang jauh lebih kuat serta mengakibatkan kerosakan otak kekal yang teruk ke atas penagih, oleh itu ia bukan perkara yang boleh diikuti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ‘Town Hall’ bersama pelajar Universiti Putra Malaysia, selepas merasmikan Bulan Antidadah Kebangsaan, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau menasihati semua pihak terutama pelajar untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjauhi penyalahgunaan dadah, serta menjadikan kawasan kampus selamat dan bebas dari anasir tidak sihat.

“Dadah bukan perkara yang boleh dicuba-cuba, kerana ia sangat memudaratkan. Justeru, saya ingin berpesan, anda berada di menara gading, kejayaan menunggu di hadapan, namun harus diingat bahawa setiap kejayaan perlukan perjuangan, setiap kemenangan perlukan pengorbanan dan setiap kesenangan perlu melalui pelbagai cabaran.

“Sebagai pelajar, kita perlu mempersiapkan dan mengawal diri dengan batas iman supaya tidak terjerumus terhadap aktiviti kurang sihat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau percaya semua pihak perlu ‘meremajakan’ program yang membabitkan anak muda supaya mereka tidak terasing.

“Pendekatan seperti program ilmu yang menyelitkan elemen hiburan santai dan relaks akan mendekatkan anak muda kepada masyarakat secara menyeluruh dalam usaha mencegah aktiviti ini,” katanya.


Pengarang :