SELANGOR

Tiga lagi premis makanan abai kebersihan diarah tutup

SHAH ALAM, 5 FEB: Sekurang-kurangnya tiga premis makanan di Seksyen 7, di sini diarah tutup oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana tahap kebersihannya kurang memuaskan ketika operasi premis makanan, pada 1 Februari lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, tujuh notis dan enam kompaun turut diberikan pada premis makanan berkenaan selain menyita 45 meja dan 129 kerusi yang di letakkan di premis makanan tanpa permit dan kebenaran MBSA.

“Hasil pemeriksaan, pemilik premis makanan masih lagi mengabaikan tahap kebersihan di premis masing-masing khususnya dari aspek penyediaan makanan dan penyimpanan makanan, penggunaan peralatan yang kurang bersih, kebersihan tandas yang kurang memuaskan dan pekerja tidak mempunyai suntikan TY2 (anti-typhoid).

“Kegagalan pemilik premis mematuhi syarat-syarat ditetapkan tindakan boleh diambil mengikut Undang-Undang Kecil sedia ada seperti Undang-Undang Kecil Establisyemen Makanan MBSA 2007, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan; Perindustrian MBSA 2007 dan Undang-Undang Kecil Pengendalian
Makanan MBSA 2007,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, operasi yang dijalankan di lima premis itu melibatkan Jabatan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Bangunan.

Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Bin Ruslan dan Ahli Majlis dan Pengerusi Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 3, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid .

Untuk makluman, MBSA mengadakan pemeriksaan di 615 premis dan dari jumlah ini 28 premis diarah ditutup sepanjang 2018.

Manakal, pada 2019 sehingga 20 Januari lalu, sebanyak 68 premis diperiksa, 5 premis diarah ditutup, 57 notis pemberitahuan dan 22 kompaun dikeluarkan.

“Operasi seperti ini akan dijalankan secara berkala pada setiap bulan bagi memastikan premis-premis makanan di Shah Alam sentiasa bersih dan mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

“MBSA berharap setiap premis makanan menjaga kebersihan serta mengamalkan pengendalian makanan yang betul serta memastikan pembantu kedai mendapat suntikan anti-Typhoid (TY2), menghadiri kursus pengendalian makanan, dan mendaftar untuk memiliki kad pengendalian makanan MBSA,” katanya.


Pengarang :