GLOBAL

Timbalan Setiausaha Perbendaharaan AS calon Presiden Bank Dunia

WASHINGTON, 7 FEB: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan David Malpass, sebagai calon negara itu bagi mengisi jawatan presiden Bank Dunia.

Agensi berita China Xinhua melaporkan, Malpass yang juga Timbalan Setiausaha bagi Hal Ehwal Antarabangsa di Jabatan Perbendaharaan AS disifatkan sebagai “seorang yang amat luar biasa.”

Laporan itu dikeluarkan melalui kenyataan dari Rumah Putih menyebut bahawa Trump melancarkan “pencarian meluas bagi mencari pengganti” Jim Yong Kim, bekas pemimpin Bank Dunia yang secara tiba-tiba meletak jawatan, pada awal Januari lalu.

“Saya tahu David adalah orang yang tepat bagi mengisi jawatan yang amat penting ini,” kata Trump.

Presiden itu berkata, Malpass adalah penyokong kuat bagi akauntabiliti di Bank Dunia dan beliau berjuang bagi memastikan pembiayaan difokuskan pada tempat serta projek yang sememangnya memerlukan bantuan, termasuk penduduk yang hidup dalam keadaan miskin tegar.

Malpass perlu mendapat kelulusan lembaga pengarah eksekutif Bank Dunia bagi mengetuai badan pemberi pinjaman pembangunan antarabangsa itu.

Ekoran kenyataan Trump, Malpass yang pernah mengkritik Bank Dunia sebelum ini mengucapkan terima kasih kepada presiden terbabit kerana memilih beliau untuk mengetuai institusi pembangunan utama dunia itu.

Beliau berkata, matlamat utama ialah bagi memastikan golongan wanita mencapai pembabitan penuh dalam usaha membangunkan ekonomi.

Calon yang dipilih Washington, pemegang saham terbesar Bank Dunia dengan 16 peratus kuasa mengundi, biasanya akan mengambil alih jawatan sebagai pemimpin institusi itu sejak penubuhannya, pada 1944.

Tradisi yang diamalkan sejak sekian lama itu menyebabkan kredibiliti organisasi terbabit dipersoal, memandangkan jumlah sumbangan pasaran negara membangun dan pertumbuhan ekonomi global jauh lebih besar berbanding negara maju, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bermula Khamis, lembaga pengarah eksekutif Bank Dunia akan menerima pencalonan sehingga 14 Mac dan memilih pemenang bagi mengisi jawatan presiden menjelang mesyuarat Musim Bunga Bank Dunia dan IMF, yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 14 April, di Washington.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :