GLOBALSUKANKINI

Tokyo 2020: Pingat diperbuat daripada sisa kitar semula

GLOBAL, 9 FEB: Semua pingat di Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 di Tokyo akan diperbuat daripada sisa elektronik kitar semula, kata penganjur.

Agensi berita BBC melaporkan, satu projek berkaitan telah dimulakan pada 2017 untuk mengumpulkan sisa elektronik yang mencukupi termasuk telefon pintar lama dan komputer riba, bagi menlaksanakannya.

Matlamatnya adalah untuk mengumpul 30.3kilogram (kg) emas, 4,100kg perak dan 2,700kg gangsa.

Penganjur berkata, mereka berada pada landasan untuk mencapai sasaran berkaitan pada Mac ini.

Sasaran untuk gangsa telah dicapai pada Jun tahun lalu manakala penganjur mempunyai lebih daripada 90 peratus emas dan 85 peratus perak menjelang Oktober ini.

Tokyo 2020 akan melancarkan reka bentuk pingatnya tahun ini.

Logam kitar semula telah dikumpulkan dari orang awam Jepun serta perniagaan dan industri.

Menjelang November tahun lalu, 47,488 tan peranti yang dibuang telah dikumpulkan, dengan menyerahkan lebih kurang lima juta unit telefon yang digunakan kepada penyedia rangkaian tempatan.

“Dianggarkan jumlah baki logam diperlukan untuk mengeluarkan semua pingat Olimpik dan Paralimpik boleh diekstrak daripada peranti yang telah didermakan,” kata penganjur Tokyo 2020 dalam satu kenyataan.

Pada Olimpik 2016 di Rio, kira-kira 30 peratus daripada pingat perak dan gangsa datang dari bahan kitar semula.


Pengarang :