NASIONAL

Tubuh pasukan khas urus rumah mampu milik

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Satu pasukan khas di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan ditempatkan di projek perumahan mampu milik untuk mengkaji pengurusan perumahan terbabit termasuk kutipan caj penyenggaraan mereka.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, anggota pasukan itu akan diberi latihan khusus untuk memperkasa dan membolehkan mereka memajukan diri.

“Pengurusan bagi hartanah ini penting kerana jika kita bercakap berkenaan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40), kategori ini membabitkan mereka yang kurang berkemampuan.

“Jadi, mereka tidak mampu membayar caj penyenggaraan tinggi dan mengambil masa untuk menguruskan rumah itu,” katanya dalam program bual bicara Property Hot Seat terbitan Bernama News Channel.

Beliau berkata, penubuhan pasukan khas itu sejajar Dasar Komuniti Negara (DKN) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

Katanya, inisiatif di bawah Dasar Perumahan Negara 2.0 itu diwujudkan KPKT bertujuan untuk menambah baik kualiti hidup penduduk Projek Perumahan Rakyat dengan sokongan Majlis Perbandaran Subang Jaya dan EdgeProp.my.

“Dasar Perumahan Negara baharu itu mempunyai lima bidang tumpuan, 16 strategi dan 57 pelan tindakan.

“KPKT juga akan terus memberi penekanan untuk membantu golongan B40 memiliki rumah sendiri dan meningkatkan taraf hidup mereka dalam tempoh lima tahun dan ia dijangka mampu dilaksanakan melalui DKN,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

 


Pengarang :