BERITA UTAMANASIONAL

Tun M ketuai Majlis Tindakan Ekonomi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 FEB: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi yang ditubuhkan untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi, kewangan serta kebajikan rakyat.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, seramai 16 ahli menganggotai majlis tindakan itu, manakala sekretariat adalah Unit Penyelarasan Perlaksanaan di Jabatan Perdana Menteri dengan pelantikan berkuat kuasa serta-merta.

Kenyataan itu berkata, matlamat utama Majlis Tindakan Ekonomi adalah untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi mampan, pengagihan kekayaan saksama dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Majlis ini ditubuhkan bagi menyahut dan bertindak ke atas maklum balas rakyat terhadap masalah yang mereka hadapi khususnya dalam bidang ekonomi.

“Ia juga akan meneliti isu berkaitan kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah,” katanya.

Majlis Tindakan Ekonomi turut dianggotai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Turut tersenarai sebagai ahli majlis ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking; Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid.

Selain itu, Tan Sri Rafidah Aziz; Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram; Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Dr Hasnita Hashim dan Pengerusi Bursa Malaysia, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen.

Ahli lain termasuklah Pengerusi Asean Business Advisory Council Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Paul Selvaraj; Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Institut MASA, Nizam Mahshar dan peguam Bah Tony @ Amani William Hunt Abdullah.


Pengarang :