NASIONAL

Tun M sahkan PAS tidak sokong Umno dalam PRK Semenyih

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan PAS tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan berlangsung 2 Mac hadapan.

Beliau berkata, perkara itu merupakan antara perincian yang dinyatakan dalam pertemuan bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur, semalam.

“(Pertemuan itu) berkenaan dengan politik. Tentang pihak parti PAS dalam PRK ini tidak akan menyokong pihak UMNO

“Tapi ada juga pengakuan secara bertulis dan ditandatangani,” katanya yang ditemui media selepas Majlis Pesta Demokrasi Malaysia 2019 anjuran FORSEA Kuala Lumpur di Publika.

Semalam, Abdul Hadi dan Dr Mahathir mengadakan pertemuan yang berlangsung hampir sejam.

Ahli Parlimen Marang itu dalam kenyataannya menyatakan pertemuan itu membincangkan soal pentadbiran khususnya melibatkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Sebelum itu, Dr Mahathir turut melawat ‘Black Box’ yang menempatkan beberapa karya seni berkisar perkembangan demokrasi Malaysia sehingga berlakunya perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Dalam ucapannya Dr Mahathir menyifatkan walaupun demokrasi merupakan sebuah sistem yang tidak sempurna tetapi ia masih terbaik yang perlu diamalkan.

 


Pengarang :