GLOBAL

Twitter akui gagal tangani isu buli siber

BENGALURU, 13 FEB: Twitter mengakui syarikat di Lembah Silikon, termasuk miliknya tidak mengambil pendekatan cukup dalam melindungi mangsa buli internet dan menganggap ia satu kegagalan besar.

Ketua Eksekutif Twitter Inc, Jack Dorsey turut memberi gred C untuk situasi itu ketika diwawancara
pengasas bersama laman berita teknologi Recode, Kara Swisher.

“Kita ada perkembangan tetapi ia berselerak dan tidak mencukupi. Ia tidak begitu bermakna dan kita meletakkan sebahagian besar beban itu ke atas mangsa (ia satu kegagalan besar).” katanya melalui Twitter.

Twitter bersama rangkaian sosial media internet, Facebook Inc berdepan kritikan kerana hantaran berbentuk penghinaan, pengguna palsu dan penyiaran berita tidak tepat.

Syarikat berkenaan turut membuat pelaburan besar untuk meningkatkan aspek ‘kesihatan keseluruhan’ Twitter.

Dorsey semalam berkata, beliau kurang gemar melihat bagaimana Twitter cenderung mengamalkan fikiran jangka pendek dan kurang memiliki kepelbagaian untuk memerangi masalah seumpama itu.

Katanya, Twitter melalui kerjasama pelbagai agensi kerajaan berada dalam kedudukan lebih baik untuk memerangi penyebaran maklumat palsu, pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2020.

*Sumber: Reuters


Pengarang :