SUKANKINI

UiTM FC lafaz ikrar bebas rasuah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 FEB: Pemain dan pegawai pengurusan pasukan bola sepak UiTM FC melafazkan ikrar tidak akan terjebak dengan aktiviti rasuah menjual perlawanan bola sepak.

Lafaz ikrar membabitkan pemain pasukan UiTM FC Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia itu disempurnakan di hadapan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Alias Salim dan Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar UiTM merangkap Presiden UiTM FC, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said.

Bacaan ikrar itu diketuai Kapten Pasukan UiTM FC, Muhammad Zulkhairi Zulkeply.

Dr Abdullah berkata, amalan rasuah menjual perlawanan bukan sahaja memburukkan imej pasukan tetapi turut memberi kesan kepada nama baik Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Sebagai pemain bola sepak, anda perlu pertahankan intergriti dengan menolak rasuah kerana akan memburukkan imej pasukan dan universiti.

“Rasuah juga akan menyebabkan rakan penaja tidak merasa selesa untuk meneruskan tajaan mereka,” katanya pada program Ceramah dan Ikrar Bebas Rasuah membabitkan pemain dan anggota pengurusan UiTM FC, di Dewan Kompleks Sukan UiTM di sini, semalam.

Sementara itu, Alias berkata, UiTM FC muncul sebagai pasukan pertama daripada institusi pengajian tinggi yang melafazkan ikrar bebas rasuah.

“Bermainlah dengan penuh intergriti dan bebas rasuah demi nama pasukan anda,” katanya.


Pengarang :