SUKANKINI

UiTM Lions garap misi Johan Liga Ragbi Premier Malaysia 2019

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 FEB: Pasukan Ragbi Universiti Teknologi MARA (UiTM), UiTM Lions mensasarkan akan beraksi ke pentas akhir pada Kejohanan Liga Ragbi Premier Malaysia 2019 yang akan bermula pada 17 Februari hingga 24 Mac ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Dato’ Dr Abdullah Mohammad Said berkata, kali terakhir pasukan itu berentap ke pentas akhir adalah pada 2013 selepas bertemu pasukan Keris Conlay.

“Kita optimis mara ke peringkat akhir dan pada masa sama berusaha menjadi juara pada Kejohanan Liga Ragbi Premier Malaysia 2019.

“Walaupun 70 peratus pemain kebanyakan baru kali pertama beraksi dalam kejohanan ini, kita yakin UiTM Lions mampu mencapai sasaran pada kejohanan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Memperkenalkan Jersi dan Penaja serta Pemain Pasukan Ragbi Uitm Lions Musim 2019 Kejohonan Liga Ragbi Malaysia di Kompleks Sukan, UiTM, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, UiTM Lions yakin mendominasi perlawanan apabila hadirnya empat pemain import dari Fiji yang mula menjalani latihan bersama pasukan mulai semalam.

Beliau berkata, kapten pasukan skuad 15 sebelah negara, Mohd Syahir Asyraf Rosli juga akan membuat penampilan kali pertama membarisi pasukan UiTM Lions bagi musim kali ini.

Difahamkan, lapan pasukan akan bertanding dalam Kejohanan Liga Ragbi Premier Malaysia 2019 dan UiTM Lions diundi dalam kedudukan Kumpulan A bersama juara bertahan Keris Conlay, UPM Angels dan SSTMI Tsunami.

UiTM Lions yang dibarisi oleh mahasiswa UiTM mula menjalani latihan pusat bermula 17 Januari lalu bagi mempersiapkan pasukan untuk memberi cabaran kepada semua pasukan bertanding.

 


Pengarang :