PBTSELANGOR

UMW Corporation tanam 536 pokok di Pantai Remis

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 7 MEI: Kira-kira 536 pokok ditanam di sepanjang pesisir Pantai Remis sempena Program Penanaman Pokok dan Pembersihan Pantai Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Ketua Pelaburan Sosial Korporat, Komunikasi Korporat Kumpulan UMW Corporation Sdn Bhd, Akhbar Puteh berkata, sebanyak 500 pokok renek dan 36 pokok rhu ditanam dalam usaha memulihara dan memelihara kawasan pelancongan itu.

Katanya, proram kelestarian itu adalah sebahagian daripada agenda Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi merealisasikan objektif kelestarian syarikat.

“Di UMW, persekitaran adalah salah satu daripada tiga tunggak utama CSR termasuk pembangunan komuniti dan pendidikan.

“Sejak 2011 sehingga tahun ini, sebanyak 19,600 pokok sudah ditanam sukarelawan UMW melalui program seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha MDKS, Azman Dahlan berkata, pihaknya memainkan peranan utama untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan penduduk setempat supaya berganding bahu memelihara serta memulihara alam sekitar demi kepentingan bersama.

“Tahniah kepada UMW atas keprihatinan melaksanakan program CSR sebegini, sekali gus menjalinkan kerjasama mengadakan program penanaman pokok dan pembersihan pantai.

“Untuk makluman, UMW turut menyumbangkan RM25,000 bagi pembelian pokok untuk program ini,” katanya.


Pengarang :