GLOBALNASIONAL

Vietnam giat lakukan persiapan sambut Kim Jong Un

HANOI, 23 FEB: Persiapan bagi menyambut kedatangan ketua Korea Utara, Kim Jong Un, yang dijangka tiba minggu depan dengan menaiki kereta api untuk menghadiri sidang kemuncak bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sedang giat dilakukan pihak berkuasa.

Kedua-dua pemimpin itu dijadualkan bertemu di Hanoi, pada 27 dan 28 Februari ini sebagai susulan terhadap pertemuan pertama mereka di Singapura, pada Jun tahun lalu yang berakhir tanpa sebarang kepastian berhubung penghapusan program nuklear Pyongyang.

Di Dandong, timur laut China yang bersempadan dengan Korea Utara, terdapat beberapa isyarat membuktikan kereta api dinaiki Jong Un akan merentasi China dalam perjalanan ke Vietnam.

Semua tetamu yang menginap di hotel berhadapan jambatan dinaiki kereta api berkenaan untuk memasuki China juga sudah diarahkan petugas untuk mendaftar keluar.

Hotel Zhonglian yang terletak di sepanjang sungai Yalu dan memisahkan kedua negara itu juga akan ditutup, bermula hari ini.

Sumber memberitahu, Jong Un dijangka tiba di Vietnam dengan menaiki kereta api lebih awal sebelum mesyuarat bersama Trump diadakan dan akan melawat dua wilayah bagi meninjau perkembangan ekonomi selepas perang negara terbabit.

“Kami sedang bersiap sedia menyambut ketibaan delegasi Korea Utara sekitar 25 Februari. Kami sedang merangka sambutan mereka di stesen kereta api Dong Dang, sebelum bergerak ke Hanoi dengan menaiki kereta,” kata seorang sumber rapat logistik.

Sumber dan media melaporkan, Jong Un dijangka tiba di Dong Dang dengan merentasi Beijing dari Pyongyang.

Sumber kedua logistik turut mengesahkan ketibaan kereta api berkenaan pada lewat 25 Februari atau 26 Februari.

*Sumber: AFP / Terjemahan: BHOnline


Pengarang :