GLOBAL

Wakil AS kunjungi pejabat Presiden Korea Selatan bertemu penasihat keselamatan

SEOUL, 4 FEB: Wakil khas Amerika Syarikat (AS) bagi Korea Utara dijangka mengunjungi pejabat Presiden Korea Selatan pada Isnin untuk bertemu penasihat keselamatan tertinggi negara itu bagi membincangkan butiran sidang kemuncak kedua yang bakal berlangsung antara Washington dan Pyongyang, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan sumber.

Stephen Biegun dijangka bertemu Penasihat Keselamatan Nasional, Chung Eui Yong apabila beliau berkunjung ke Cheong Wa Dae (pejabat Presiden).

Pertemuan itu diadakan menjelang rundingan peringkat kerja Biegun dengan rakan sejawatnya dari Korea Utara, Kim Hyok Chol pada Selasa di zon bebas tentera dalam perkampungan Panmunjom untuk melakukan persiapan bagi mengadakan sidang kemuncak kedua antara Presiden AS, Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

Tarikh dan venue sidang kemuncak itu, yang ketika ini dijangka berlangsung pada akhir Februari, belum diumumkan dan Vietnam dipetik sebagai antara lokasi yang menjadi kemungkinan.

Trump sebelum ini berkata, tarikh dan venue bagi sidang kemuncak itu akan diumumkan minggu ini.

Rundingan antara Washington dan Pyongyang minggu ini dijangka memfokus kepada butiran langkah pembasmian senjata nuklear yang perlu dilakukan Korea Utara dan kaedah sepadan oleh AS.

Progres yang berlaku agak lembap sejak sidang kemuncak bersejarah pertama antara kedua-dua pemimpin pada Jun tahun lalu kerana Pyongyang mahukan sekatan ke atasnya ditarik balik manakala Washington bertegas bahawa ia akan diteruskan sehinggalah Korea Utara selesai melakukan pembasmian senjata nuklear.

Biegun sebelum ini menggesa Pyongyang menyediakan deklarasi penuh berhubung program nuklear dan peluru berpandunya, sambil menegaskan bahawa ia adalah langkah perlu sebelum mencapai pembasmian senjata nuklear ‘yang muktamad’ di Semenanjung Korea.

Biegun tiba di Seoul pada Ahad dan bertemu rakan sejawat beliau dari Korea Selatan, Lee Do Hoon beberapa jam kemudian untuk bertukar pandangan menjelang rundingan peringkat kerjanya dengan Korea Utara minggu ini.

Beliau telah dihujani soalan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, yang terletak di barat Seoul, namun enggan mengulas.

Wakil AS itu mungkin bertemu Lee lagi selepas mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Korea Utara untuk berkongsi hasil.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :