PBTSELANGOR

‘Wall Climbing’ percuma tarikan Hari Tanpa Kenderaan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 FEB: Aktiviti ‘wall climbing’ secara percuma menjadi tarikan terbaharu, sempena sambutan Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, pada 10 Februari lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam, Shahrin Ahmad berkata, aktiviti yang semakin popular dalam kalangan remaja itu bukan sahaja menguji keupayaan diri, sebaliknya dapat melahirkan individu sihat dan cergas.

“Aktiviti ‘Wall Climbing’ ini berjaya menarik penyertaan lebih 50 orang daripada kalangan pengunjung yang hadir.

“Selain itu, bagi memeriahkan program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, MBSA juga menyediakan aktiviti ‘Futsal 3 On 3’ secara percuma membabitkan tiga pemain bagi satu pasukan yang bermain bersama pasukan lain dalam gelanggang disediakan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, ia turut mendapat sambutan hangat daripada pengunjung membabitkan penyertaan sehingga 15 pasukan semasa aktiviti dijalankan.

Katanya, turut diadakan permainan sukan yang dimainkan dengan cakera/piring (frisbee) yang diketengahkan MBSA dan UiTM kepada orang ramai, sejak 2018.

“Klinik ‘Frisbee’ ini ternyata mempunyai peminat tersendiri apabila sejumlah 20 pasukan ‘frisbee’ hadir menyertai aktiviti ini.

“MBSA bergerak secara proaktif dalam mempromosikan dan menggalakkan gaya hidup sihat,” katanya.

Terdahulu, program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan turut dihadiri Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan, Ahli Majlis dan Pengarah Jabatan MBSA.


Pengarang :