NASIONAL

Wilayah Persekutuan nadi ekonomi negara – Azmin

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya merupakan nadi yang menjana pertumbuhan negara ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam perutusan bersempena Hari Wilayah hari ini, beliau berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017 menunjukkan sumbangan Wilayah Persekutuan kepada ekonomi negara adalah sebanyak 13.5 peratus.

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pula menunjukkan penduduk Wilayah Persekutuan pada 2018 dianggarkan adalah seramai 1.98 juta orang.

“Matlamat Kuala Lumpur sebagai bandar raya komersial bertaraf antarabangsa dan kosmopolitan, Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Labuan sebagai pusat kewangan antarabangsa telah menjadikan Malaysia mampu bersaing dengan negara-negara yang pesat membangun maju,” katanya.

Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Februari setiap tahun bermula 1974 susulan pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya.

Selain itu, Mohamed Azmin turut mengingatkan agar masyarakat menunaikan tanggung jawab sosial dan nilai-nilai murni terhadap komuniti setempat bagi ​​​​​​​memastikan keharmonian dan pembangunan seimbang, khususnya bagi mereka yang menetap di kawasan bandar.

“Sehubungan itu, marilah kita bersama-sama merealisasikan impian dan menjadikan Wilayah Persekutuan terus berkembang pesat, mampan dan setanding dengan negara-negara maju lain,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :