BERITA UTAMAPELANCONGANSELANGOR

WorldChef Battlefield 2019 gabung chef terkemuka dunia

OLEH SHEEDA FATHIL

SEPANG, 19 FEB: WorldChef Battlefield (WCB) 2019 akan mengumpulkan chef professional dari seluruh dunia untuk bersaing dalam pertandingan masakan, bermula 4 hingga 7 April ini, di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA.

Pengerusinya, Chef Zubir Zain berkata, pertandingan julung kali itu menampilkan 16 chef profesional dari pelbagai negara merangkumi empat dari Malaysia; enam (Benua Asia) dan enam terdiri dari benua Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan, Afrika serta Australia.

“Setiap pasukan ini akan berentap bagi merebut gelaran juara WCB 2019, sekali gus bakal membawa pulang hadiah wang tunai USD12,000 (RM49,570).

“WCB 2019 ini disokong dan diluluskan Professional Culinaire Malaysia serta World Association of Chef’s Societies (WACS) yang akan diadili selebriti masterchef dan juri dari peringkat antarabangsa yang diiktiraf WACS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran WorldChef Battlefield 2019 ‘Battle Of The Master’, di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen KLIA, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Pada masa sama, beliau menjemput orang ramai untuk menyaksikan acara bertaraf dunia itu yang pastinya akan mempamerkan pelbagai kemahiran kulinari daripada chef professional.

Katanya, pertandingan yang akan disiarkan itu akan direkodkan dan diagihkan kepada negara setiap peserta.

“Ia juga akan menjadi landasan berprestij bagi chef profesional global untuk menunjukkan kemahiran masakan masing-masing,” katanya.


Pengarang :