SELANGOR

Wujud lebih banyak perkhidmatan MRO Industri Aeroangkasa – MB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 FEB: Kerajaan Negeri berhasrat mewujudkan lebih banyak perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) dalam Industri Aeroangkasa dan Penerbangan khususnya di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selain MRO, tapak Pembuatan Pesawat Udara juga diperlukan selaras mengukuhkan kedudukan sebagai Pusat Kecemerlangan ‘Research & Development’ dalam industri terbabit.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri mula berbincang dengan syarikat antarabangsa bagi penempatan semula beberapa operasi syarikat global untuk dipindahkan ke negeri itu.

“30 peratus daripada aktiviti Aeroangkasa dan Penerbangan termasuk permintaan datang dari Wilayah Asia Pasifik memandangkan ia sudah berkembang pesat sejak tempoh 10 tahun lalu.

“Pengeluaran pesawat hanya 600 unit setiap tahun di seluruh dunia, malahan lebih daripada 10,000 tempahan pesawat kini sedang menunggu dan belum dibuat MRO, meskipun untuk memecahkan atau merobohkan kraf di B737, 757, 767 dan 747 serta Airbus A300 juga lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Townhall Selangor Aerospace Action Plan Invest Selangor, di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan Pengarah Urusan Malaysia of Frost & Sullivan, Hazmi Mohd Yusof.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan lebih ramai syarikat dan pemain dalam industri berkenaan ke rantau ini memandangkan permintaan daripada aspek rantaian bekalan bahagian pesawat serta MRO adalah perniagaan yang mampu memberi pulangan besar.

“Bidang Aeroangkasa dan Penerbangan bukan di pesawat komersial atau untuk pertahanan sahaja tetapi saya percaya ‘Drones’ dan Teksi Udara akan dipasarkan secara meluas pada tahun hadapan,” katanya.


Pengarang :