SELANGOR

Wujud unsur sabotaj tong bahan kimia bocor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 14 FEB: Kerajaan Negeri mengesahkan kejadian tong bahan kimia bocor, di pekarangan sebuah kilang dekat Kampung Sungai Lalang, Semenyih, pada 12 Februari lalu mempunyai unsur sabotaj.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, hasil siasatan mendapati terdapat kira-kira 172 tong drum disyaki berisi pelbagai kimia tamat tarikh luput, di kawasan terbabit.

Katanya, 10 daripada tong drum itu sengaja ditebuk dan diterbalikkan bagi mengeluarkan cecair yang disyaki bahan kimia ke saluran air berdekatan.

“Terdapat bau kuat terhasil di sekitar lokasi tapak pembuangan dan boleh dihidu sehingga 300 meter dari tempat kejadian.

“Perumahan terdekat adalah Taman Semenyih Permata dan Kampung Pasir yang terletak sekitar 500 meter dari tapak kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melantik Kualiti Alam Sdn Bhd untuk melakukan kerja pembersihan dengan peruntukan RM486,000.

Katanya, setakat ini sebanyak 18 tan air tercemar diangkut keluar untuk dilupuskan Kualiti Alam.

“Tindakan pantas Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor berjaya mengelakkan bahan kimia dari memasuki Sungai Semenyih, sekali gus dapat mengelakkan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih daripada tercemar,” katanya.

Siasatan di kawasan terbabit dilakukan pasukan forensik Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar bagi mendapatkan maklumat terperinci sehingga tertangkapnya suspek untuk didakwa.

 


Pengarang :