NASIONAL

Yang di-Pertuan Agong berkenan ziarah Azmin

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam berkenan menziarahi Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang dirawat di hospital selepas menjalani pembedahan.

Anak kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, Farah Amira melalui Twitternya berkongsi dua gambar yang memaparkan Sultan Abdullah melawat bapanya, di wad hospital.

“Saya dan keluarga menjunjung kasih di atas keberangkatan Ke bawah DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang berkenan mencemar duli menziarahi Abah @AzminAli petang ini.

“Sesungguhnya, kepedulian dan kasih yang dizahirkan Tuanku adalah kekuatan diri Abah @AzminAli untuk kembali sihat dan berkhidmat demi rakyat dan negara,” tulisnya.

Bagaimanapun, Farah tidak mendedahkan di mana pusat perubatan dan rawatan diterima bapanya.

Semalam, isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut menziarahi Mohamed Azmin yang ditemani isterinya, Datin Seri Shamshida Taharin.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :