SELANGOR

100 beg kitar semula percuma sempena 60+ ‘Earth Hour’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 MAC: Sebanyak 100 beg kitar semula percuma akan diberi kepada pengunjung terawal sempena Program 60+ ‘Earth Hour’ Shah Alam, pada 30 Mac ini.

Program anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu bakal berlangsung di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini, bermula seawal 8 malam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, penganjurannya adalah simbolik sokongan terhadap usaha World Wide Fund for Nature (WWF) untuk menyelamatkan bumi daripada pencemaran alam sekitar.

“Acara utama adalah Berbasikal Kayuhan Malam MBSA dan peserta akan berkayuh sejauh 11 kilometer mengelilingi pusat bandar Shah Alam sebagai tanda sokongan terhadap kempen ini.

“Acara ini terbuka kepada semua warga Malaysia dengan yuran pendaftaran RM30. Peserta akan menerima baju-t kayuhan dan perlindungan insurans daripada MBSA, manakala kaunter jualan T-Shirt Ekslusif Earth Hour akan dibuka dari 5.30 petang hingga 9.30 malam.

“Kita juga menyediakan cabutan bertuah kepada 20 peserta kayuhan dan kaunter pendaftaran akan dibuka mulai 6.30 petang hingga 8 malam,” katanya dalam kenyataan.

Selain acara kayuhan basikal, acara sampingan lain turut diadakan adalah pertandingan mewarna, persembahan pentas, Pameran Inisiatif Hijau MBSA, Chu-Chu Train dan Food Truck.

Menariknya, pengunjung berpeluang mendapatkan perkhidmatan Beca Berhias percuma disediakan MBSA.

Sebagai menyahut kempen seperti tahun sebelum ini, Shahrin berkata, pemilik premis di sekitar Shah Alam diseru memadamkan lampu bangunan yang bukan lampu utama di premis masing-masing untuk tempoh satu jam mulai 8.30 hingga 9.30 malam, pada tarikh berkenaan.

“Ini adalah komitmen berterusan MBSA untuk mendidik masyarakat khususnya komuniti Shah Alam bersama-sama berganding bahu dan mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam memelihara keseimbangan alam sekitar,” katanya.


Pengarang :