PBTSELANGOR

10,000 langkah ‘Fit Gen Plus 2019’ tawar hadiah menarik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 MAC: Usaha mempromosikan gaya hidup sihat dan cergas dalam kalangan komuniti diteruskan Majlis Perbandaran Klang (MPK) melalui penganjuran 10,000 Langkah ‘Fit Generation Plus 2019’ dengan menawarkan pelbagai hadiah istimewa.

Menanti pengunjung pada 30 Mac ini seawal jam 8 pagi, aktiviti jalan kaki 10,000 langkah yang bakal diadakan di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang itu adalah sebahagian daripada acara sempena Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women).

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, pihaknya menyuntik elemen hadiah bagi menarik penyertaan semua peringkat lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan bangsa.

Katanya, peserta juga digalakkan berjalan bersama keluarga masing-masing sepanjang aktiviti berkenaan dijalankan.

“Kita menawarkan hadiah wang tunai bagi 10 peserta terawal jalan kaki, manakala 100 peserta terawal akan membawa pulang medal dan sijil penyertaan untuk semua peserta.

“Selain itu, enam peserta terpilih bagi pakaian beragam 3W 10,000 langkah bakal memenangi hadiah lumayan,” katanya.

Terdahulu, program terbabit adalah kesinambungan daripada Fit Gen 2018 yang dijenamakan semula bagi menarik minat masyarakat dalam aktiviti berbentuk kesihatan, kebersihan dan kesihatan.

Pada masa sama, Norfiza memaklumkan, MPK sudah mengadakan sebanyak enam kali program Fit Gen melalui kolaborasi erat bersama agensi kerajaan, badan bukan kerajaan termasuk pemaju dan masyarakat.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapat penajaan peruntukan daripada syarikat pasaraya serbaneka, 99 Speedmart.

“Kempen ini berjaya menyatukan masyarakat berbilang kaum yang menyambut baik usaha MPK dalam menitikberatkan kesihatan rohani dan jasmani.

“Sebelum ini fit gen memfokuskan kepada senaman sihat/aerobik, pameran kitar semula, rendah karbon, promosi hari tanpa kenderaan dan kempen tanaman hijau.

“Best Practice MPK turut menyediakan perkhidmatan kepada awam misalnya Pameran Korporat, Pameran Aps U Adu I View, OSC Online, Smart Parking dan lain-lain,” katanya.


Pengarang :